𝐏𝐊𝐁 𝐝𝐚𝐧 𝐁𝐫𝐮𝐍𝐞𝐭 𝐆𝐥𝐨𝐛𝐚𝐥 𝐌𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐢 𝐌𝐨𝐔 𝐏𝐞𝐫𝐤𝐚𝐬𝐚 𝐈𝐧𝐝𝐮𝐬𝐭𝐫𝐢 𝐈𝐧𝐬𝐮𝐥𝐢𝐧 𝐇𝐚𝐥𝐚𝐥

Permodalan Kedah Berhad

Brunei – 14 Mac 2025,  Jumaat: Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan BruNet Global Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan industri insulin Halal. Majlis ini disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang Dilantik, TYT Datuk Mohd Aini Atan.

MoU tersebut dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Encik Mohd Azad Bin Jasmi, dan Pengarah BruNet Global Sdn Bhd, Dr Muhammad Shukri Said, dalam satu sesi rasmi yang berlangsung di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia.

Dalam ucapannya, TYT Datuk Mohd Aini menzahirkan sokongan penuh Suruhanjaya Tinggi Malaysia terhadap kerjasama perniagaan-ke-perniagaan antara Malaysia dan Brunei Darussalam dalam industri Halal. Beliau turut menekankan bahawa inisiatif ini selaras dengan peranan Malaysia sebagai peneraju utama dalam diplomasi Halal di peringkat antarabangsa.

Beliau juga yakin bahawa kerjasama antara PKB dan BruNet Global bukan sahaja akan membawa manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara, malah turut merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi masyarakat setempat.

MoU ini menjadi titik permulaan kepada hubungan strategik antara PKB dan BruNet Global dalam memperkasa kepakaran industri insulin Halal. Selain itu, ia juga dijangka menyumbang kepada pembangunan infrastruktur kesihatan serta mempercepatkan pelaksanaan projek-projek berkualiti tinggi yang mampan dan inovatif, khususnya di negeri Kedah.

Semoga kerjasama ini terus berkembang dan memberi impak positif kepada sektor kesihatan serta industri Halal di rantau ini.